BAYI dipakaikan penutup hidung dan mulut di Hong Kong, susulan kebimbangan penularan wabak koronavirus. FOTO AFP
Agensi

Beijing: China meletakkan Wuhan yang memiliki 11 juta penduduk dalam keadaan berjaga-jaga selepas serangan wabak koronavirus kini sudah mencatatkan 17 kematian, manakala hampir 600 mangsa disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Pihak berkuasa kesihatan dunia bimbang penularan wabak berkenaan akan meningkat menjelang sambutan Tahun Baru Cina hujung minggu ini susulan ramai rakyat negara itu yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Koronavirus itu dipercayai sudah menular bermula penghujung tahun lalu menerusi haiwan liar yang dijual di pasar di bandar Wuhan.

Kerajaan juga sudah mengingatkan penduduk Wuhan agar tidak tidak meninggalkan wilayah berkenaan bagi menghalang wabak itu menular ke kawasan lain.

Dalam pada itu, pihak berkuasa penerbangan dan perkhidmatan kereta api mengumumkan pengangkutan keluar dari Wuhan digantung sementara, mulai Khamis, manakala bas awam dan pengangkutan bawah tanah yang membabitkan perjalanan jauh dihentikan.

Keputusan itu dibuat ketika ratusan juta penduduk negara ini bakal melakukan perjalanan ke serata tempat sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Jabatan kebudayaan dan pelancongan bandar itu juga membatalkan segala lawatan berkumpulan hingga 8 Februari depan selain hotel dan lokasi tumpuan pelancong perlu menangguhkan aktiviti berskala besar.

Pegawai bandar Wuhan juga meminta orang ramai supaya tidak berkunjung ke wilayah itu malah upacara sembahyang di Tokong Guiyuan sempena Tahun Baharu Cina dibatalkan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 2:44 PM