FOTO Hiasan. FOTO AFP
Agensi

Wuhan: Seorang lelaki yang menjadi antara mangsa koronavirus kini disahkan sihat dan bebas daripada penyakit berkenaan selepas mendapat rawatan intensif di hospital.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Huang, 23, bekerja di stesen kereta api terletak berhampiran pasar makanan laut yang menjadi lokasi utama virus itu dikesan pada mulanya pergi ke hospital kerana berasa sakit kepala, pening dan lemah.

Dia disyaki dijangkiti virus berkenaan kerana masih belum sembuh daripada demam selepas tiga hari.

“Saya paling cepat sembuh kerana saya masih muda.

“Saya mengalami demam berulang sejak 28 Disember lalu dan perlu dirawat dalam kuarantin.

“Pasukan perubatan yang merawat saya tidak mendedahkan kulit mereka dan mereka memakai sut khas,” katanya kepada media tempatan.

Huang berkata, dia berdepan simptom awal pada 24 Disember lalu dan keadaannya bertambah teruk keesokannya.

Menyangka ia hanya demam biasa, dia mengambil cuti sakit dan berkunjung ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Doktor kemudiannya memberinya suntikan Penisilin G dan beberapa ubatan namun, keadannya tidak pulih.

Bimbang kerana terlalu lama mengambil cuti sakit, dia membuat keputusan untuk kembali bekerja namun, berasa demam ketika berada dalam bas untuk ke stesen kereta api.

Dia kembali ke hospital dan hasil ujian mendapati bacaan untuk fungsi hatinya tidak normal.

Pada 1 Januari lalu, Huang berkunjung ke Union Hospital untuk mendapatkan pandangan kedua dan doktor memaklumkan dia menghidapi pneumonia.

Namun, selepas pasukan perubatan dimaklumkan bahawa tempat kerjanya berhampiran pasar berkenaan, mereka memindahkannya ke Jinyintan Hospital yang menempatkan semua pesakit koronavirus.

Huang berkata, ada ketikanya dia berasa terlalu lemah sehingga tidak mampu menggerakkan badan dan perlu menyedut oksigen tanpa henti.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 8:47 PM