Petugas kesihatan memantau ketibaan pelancong China di Lapangan Terbang Changi semalam. Foto AFP
Agensi

LELAKI warga China disahkan individu pertama positif wabak koronavirus di Singapura manakala seorang lagi berkemungkingan dijangkiti virus sama.

Portal berita Channel News Asia melaporkan, lelaki berusia 66 tahun yang berasal dari Wuhan, China tiba di Singapura pada 20 Januari lalu bersama keluarganya menaiki penerbangan dari Guangzhou ke republik berkenaan.

Lelaki berkenaan dilaporkan dirawat dan dikuarantin di Hospital Besar Singapura, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Difahamkan, lelaki berkenaan mengalami sakit tekak ketika dalam pesawat tetapi tidak demam. Pada hari berikutnya, dia demam dan batuk berterusan.

Sebaik tiba di hospital berkenaan, dia dikuarantin serta-merta dan disahkan mengalami radang paru-paru sebelum disahkan dijangkiti wabak berkenaan.

Kementerian Kesihatan republik itu pada Khamis lalu memaklumkan lelaki terbabit menginap di Shangri-La Rasa Sentosa Resort.

Sementara itu, seorang wanita berusia 53 tahun menunjukkan hasil positif dalam ujian awal, namun masih menunggu pengesahan.

Anak lelaki pesakit yang disahkan positif itu berusia 37 tahun juga dalam senarai pesakit yang disyaki dijangkiti dan masih berada dalam wad manakala selebihnya kini dikuarantin dan bakal dipantau selama dua minggu.

Menurut kenyataan kementerian itu juga, belum ada bukti yang menunjukkan virus itu sudah merebak kepada individu lain di Singapura.

Jumlah individu yang disyaki dijangkiti di Singapura meningkat dengan 28 kes disyaki membabitkan individu berusia antara setahun hingga 78 tahun manakala tujuh individu diisytihar bebas jangkitan.

Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Singapura Vernon Lee dilaporkan berkata, semua langkah berjaga-jaga akan diambil untuk mengekang penyebaran wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 10:53 PM