PASUKAN perubatan membawa pesakit berisiko wabak di Hospital Queen Elizabeth, Hong Kong. FOTO Reuters.
AFP

ANGKA kematian akibat wabak koronavirus di China meningkat kepada 26 orang, hari ini dengan mereka yang disahkan positif virus itu cecah 830 kes.

Ketika ini dua kematian berlaku di luar kawasan epidemik, manakala 24 lagi di Hubei iaitu wilayah bagi bandar Wuhan.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata, pihak berkuasa negara itu turut memeriksa 1,072 pesakit yang mempunyai simptom virus yang bermula di Wuhan.

Pertambahan berkenaan hanya sejam selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan belum sesuai untuk mengisytiharkan koronavirus sebagai bencana kesihatan dunia.

Menurut suruhanjaya itu lagi, pertambahan lapan kematian direkodkan semalam dan 259 kes baharu di seluruh negara.

Sebanyak 117 daripada 830 kes berada dalam keadaan kritikal, sementara 34 orang sudah dirawat dan bebas wabak.

Dalam pada itu, China sudah menutup sementara jambatan, pengangkutan awam dan lapangan terbang utamanya dalam usaha mengekang pergerakan 26 juta rakyatnya, bagi mengawal penularan wabak.

Huangshi yang mempunyai populasi 2.4 juta penduduk menjadi bandar terbaharu menerima nasib itu selepas wilayah Hubei, menerusi penutupan sementara terminal feri dan jambatan di Sungai Yangtze.

Pada malam Khamis, China menggantung perjalanan bas jarak jauh, bas pelancongan dan pengangkutan awam di bandar Qianjiang, Hubei yang mempunyai populasi sejuta orang.

Kereta api dan kapal terbang dari Wuhan pula sudah dihentikan selepas bandar itu dikurung, termasuk bot dan bas.

Bandar lain di bawah kawalan perjalanan adalah Xiantao yang mempunyai 1.5 juta penduduk, Chibi (500,000 penduduk), Ezhou, Huanggang dan Lichuan.

Syarikat pelancongan juga menghentikan sementara aktiviti perniagaan mereka dan tidak lagi mengurus jelajah kumpulan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 12:27 PM