Rami Al-Sarhan bersama anaknya dan satu daripada tujuh serigala peliharaannya di rumah mereka di Al-Jouf, Arab Saudi. FOTO Reuters.
Agensi

TETAMU yang mengunjungi rumah Rami Al-Sarhan di Al-Jouf, Arab Saudi sudah faham sekiranya dia bertanya sama ada mahu ‘bertemu’ dan membelai haiwan peliharaannya.

Haiwan peliharaan keluarga itu bukan kucing mahupun anjing, sebaliknya tujuh serigala dewasa.

Jarang melihat hidupan liar yang ganas menjadi sahabat manusia, namun Rami, 30, mengesahkannya kepada Arab News, malah tidak juga bimbang keselamatan anaknya yang berusia lapan, enam, empat dan tiga tahun

“Semua serigala ini biasanya bersama kami di dalam rumah. Ia makan bersama kami dan mengikut kami ke ladang, malah duduk dalam bilik bersama kami meskipun ada tetamu.

“Semuanya membesar bersama kami dan tidak pernah menyerang sesiapa, walaupun orang asing,” katanya.

Persahabatannya dengan haiwan jenis karnivor itu bermula 11 tahun lalu apabila bapa saudaranya mula membawa pulang seekor serigala dan Rami mula belajar mengenainya terutama gelagat serta perangainya.

Katanya, serigala jinak dan tidak mendatangkan bahaya kepada manusia jika diuruskan dengan baik bersama langkah yang berhati-hati.

“Walaupun ia binatang liar, serigala boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran domestik dan satu cara untuk mendapatkan kepercayaan adalah dengan berkongsi makanan serta makan bersama,” katanya.

Namun Rami tetap berhati-hati dengan tidak memberi serigalanya makan daging mentah selain, menjarakkan diri ketika musim mengawan selama dua minggu.

Makanan diberi pada jarak tertentu yang tidak terlalu dekat dan tidak berinteraksi secara langsung kerana serigala boleh menjadi ‘musuh’ jika merasa terganggu, kata Rami.

Sebelum ini, ada pihak yang mendekatinya dan bertanya mengenai kepercayaan karut berhubung bulu serigala yang dikatakan sebagai ‘ubat’ untuk merawat mereka yang dirasuk.

“Mereka datang kepada saya dan meminta bulu serigala untuk berubat sedangkan perkara itu karut dan tidak masuk akal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 4:01 PM