IRIS bersama kekasihnya, Mohamed. FOTO Agensi
Agensi

SOMERSET: Pesara wanita berusia 80 tahun bertekad mengahwini lelaki warga Mesir yang dikenalinya di media sosial, walaupun jurang usia mereka menjangkau 45 tahun.

Mail Online melaporkan, Iris Jones dari Weston-super-Mare, di sini, pertama kali berhubung dengan Mohamed Ahmed Irbriham, 35, musim panas lalu melalui sebuah kumpulan Facebook.

Selepas berkenalan selama dua minggu, Mohamed mengakui jatuh cinta dengan Iris dan pada November lalu, Iris ke Kaherah untuk bertemu dengannya secara peribadi.

Walaupun baru sahaja bertemu, mereka memutuskan untuk berkahwin di Kaherah, tetapi tertangguh selepas Kedutaan British meminta Iris menyediakan surat pengesahan perceraiannya bagi membuktikan dia bebas untuk berkahwin lagi.

Sebelum kembali ke England, Iris bertemu dengan ibu Mohamed berusia, 70, yang sudah pun merestui hubungan mereka.

Iris bercerai dengan bekas suaminya lebih 40 tahun lalu, kini hanya menunggu masa untuk kembali ke Mesir dan mengahwini Mohamed, yang berasal dari Giza.

Apabila ditanya mengenai pertemuan pertama mereka, Iris berkata, “Ia luar biasa. Saya seperti seorang dara kembali. Ia tidak mudah tetapi dia (Mohamed) sangat penyayang dan romantis.”

IRIS bersama Mohamed di Kaherah. FOTO Agensi

Iris mengakui, dua anaknya, Steve, 54, dan Darren, 53, bimbang dengan hubungan itu, tetapi dia menegaskan, Mohamed mahu mengahwininya bukan kerana wang dan ‘keistimewaan’ mendapatkan pasport British, sebaliknya kerana cinta mereka.

Menurut bekas tukang cuci itu, jika Mohamed hanya mahukan wang dan kelebihan mendapatkan pasport British, dia tidak memiliki apa-apa kerana hanya bergantung dengan wang pencen.

“Bertahun-tahun saya menghabiskan masa membahagikan orang lain bahagia, kini saya hanya mahu berkahwin dengan lelaki yang saya sayangi sebelum saya mati,” kata Iris.

Mohamed juga menegaskan, hubungan mereka adalah tulen dan berkata, “Cinta tidak mengenal usia.”

Dia berkata: “Bukan sesuatu yang betul apabila seseorang melihat segala-galanya melalui ‘materialisme’. Jika ada yang begitu, mereka tiada perasaan.”

Iris kini tekad untuk bertemu kembali kepada Mohamed dan menunggu masa berkahwin lelaki itu

Katanya, “Saya bertemu dengan orang yang tepat pada usia 80 tahun dan itu adalah cinta sejati.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 3:12 PM