Agensi

BEIJING: Segelintir rakyat China sanggup menggunakan kulit buah, sayur, botol plastik dan coli sebagai alternatif untuk melindungi diri mereka daripada dijangkiti wabak koronavirus baharu.

Alternatif itu menjadi pilihan mereka selepas tidak dapat membeli topeng muka yang kehabisan stok di pasaran.

Daily Mail melaporkan, mereka memakai ‘topeng muka’ ciptaan sendiri itu ketika menaiki pengangkutan awam dan tempat terbuka selain pasar raya bagi meneruskan urusan harian.

Sebahagian mereka turut memuat naik gambar swa foto pemakaian ‘topeng muka’ itu di laman sosial masing-masing.

Turut tersebar di laman sosial adalah video individu merendam topeng muka mereka di dalam air panas sebelum menjemurnya hingga kering.

Perkongsian itu mendapat perhatian pegawai kesihatan di China yang menasihati orang awam supaya tidak menggunakan topeng muka mereka berulang kali.

Sementara itu, pakar perubatan yang juga jurucakap kesihatan wilayah Gansu berkata topeng muka sepatutnya ditanggalkan selepas beberapa jam digunakan dan penggunaan berulang kali boleh mengurangkan keberkesanannya.

Sejak penularan wabak berkenaan, kakitangan syarikat pembekal topeng muka di China kini terpaksa bekerja lebih masa bagi memastikan bekalan yang ada mencukupi untuk warga tempatan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 12:33 PM