CHRISTOF  (kiri) dan Bernhard  berkongsi perkembangan kes ketika sidang media. FOTO Reuters
CHRISTOF (kiri) dan Bernhard berkongsi perkembangan kes ketika sidang media. FOTO Reuters
Agensi

BERLIN: Seorang jururawat wanita bertindak kejam selepas meracun lima bayi pramatang dengan dadah jenis morfin di Hospital German.

Daily Mail melaporkan wanita itu ditahan, Rabu lalu selepas pegawai penyiasat menemui jarum picagari mengandungi susu ibu dan morfin dalam loker miliknya di Ulm University Hospital yang terletak di selatan tanah air.

Penangkapan wanita itu dilakukan hasil maklumat yang disalurkan pihak hospital.

Ketua Polis Ulm, Bernhard Weber berkata, kesemua mangsa berumur lingkungan sehari hingga sebulan dan ditempatkan di wad yang sama.

Katanya, hasil siasatan dijalankan mendapati mangsa mengalami sesak nafas dengan tiba-tiba pada waktu yang hampir sama, awal pagi, 20 Disember lalu.

“Tindakan pantas seorang kakitangan membantu menyelamatkan lima bayi berkenaan,” katanya ketika sidang media.

Dalam sidang media sama, pendakwa raya, Christof Lehr percaya jururawat berkenaan melakukannya ketika dalam keadaan sedar dan tindakannya boleh menyebabkan kematian.

Berikutan kesalahan itu, jururawat berkenaan bakal berdepan lima pertuduhan membabitkan cubaan membunuh.

“Ujian dijalankan mendapati jarum picagari itu mengandungi morfin dan disebabkan itu, waran tangkap dikeluarkan kepada wanita berkenaan atas tuduhan cubaan membunuh

“Bagaimanapun, dia (jururawat) menafikan tuduhan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 6:45 AM