X
SEORANG pekerja memeriksa suhu badan lelaki di pintu masuk kawasan perumahan. FOTO Reuters
SEORANG pekerja memeriksa suhu badan lelaki di pintu masuk kawasan perumahan. FOTO Reuters
AFP

BEIJING: Panik dengan ancaman koronavirus baharu, penduduk di China melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan menyoal sesiapa yang ingin memasuki kawasan perumahan mereka.

Selain itu, ada juga yang sanggup menawarkan ganjaran wang untuk mengesan individu yang berasal dari Wuhan, bandar tercetusnya wabak koronavirus baharu.

Ia selepas wabak itu sudah menyebabkan kematian 362 orang dan 17,488 kes jangkitan, sehingga pagi semalam.

Tempoh cuti Tahun Baharu Cina yang berakhir hujung minggu ini menyebabkan penduduk bimbang virus berkenaan cepat tersebar.

Di Beijing, penduduk dilihat menutup kawasan kejiranan dengan ada yang memasang penghadang.

Ia bagi memastikan individu yang baru pulang dari kampung mendaftarkan diri dan melaporkan sejarah lawatan mereka.

Sebuah daerah di utara bandar Shijiazhuang pula menawarkan wang sehingga 2,000 yuan (RM1,173) sebagai ganjaran kepada individu, jika melaporkan penghuninya pernah melawat Wuhan, sepanjang dua minggu lalu.

Di kebanyakan kawasan kejiranan, mereka yang pernah melawat wilayah Hubei, tidak lagi dialu-alukan.

“Kamu tidak dibenarkan masuk, meskipun kamu tinggal di sini,” kata seorang pengawal keselamatan di sebuah perumahan berhubung penduduknya yang baru pulang dari Hubei.

“Mereka yang datang dari Hubei boleh membawa jangkitan,” katanya kepada AFP.

Malah, dia menegaskan bahawa sesiapa pun yang datang dari Hubei perlu memberitahu jawatankuasa penduduk.

China mengambil pelbagai langkah untuk mengekang penularan wabak berkenaan dengan menggantung perkhidmatan bas jarak jauh, lawatan berkumpulan dari warga asing dan perkhidmatan kereta api.

Dalam pada itu, ada sesetengah perumahan yang masih membenarkan penduduk yang pernah melawat Hubei untuk kembali ke rumah.

Bagaimanapun, individu terbabit perlu menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh dua minggu.

Dalam tempoh berkenaan, tahap kesihatan mereka akan dipantau dan tidak dibenarkan keluar rumah.

Malah, jawatankuasa penduduk akan membantu penduduk terbabit, jika mereka perlu membeli barangan dan makanan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 7:15 AM
    Kabinet Malaysia 2020