TENTERA laut Thailand memakai penutup mulut dan hidung ketika mengawal perumahan di Bangkok yang menempatkan warga Thailand dikuarantin selepas pulang dari Wuhan. FOTO Reuters.
TENTERA laut Thailand memakai penutup mulut dan hidung ketika mengawal perumahan di Bangkok yang menempatkan warga Thailand dikuarantin selepas pulang dari Wuhan. FOTO Reuters.
Agensi

Beijing: Jumlah jangkitan akibat koronavirus baharu terus meningkat kepada 23,500 kes seluruh dunia dengan angka kematian mencecah 490 mangsa di China.

Pihak berkuasa di wilayah Hubei melaporkan 65 lagi kematian direkodkan hari ini.

Dalam taklimat daripada suruhanjaya kesihatan di Hubei, peningkatan turut berlaku ke atas jangkitan terbaharu dengan 3,156 kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengisytiharkan wabak itu sebagai darurat kesihatan global.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pengisytiharan itu berikutan kebimbangan keupayaan wabak berkenaan tersebar dengan pantas di seluruh dunia.

"Kebimbangan kami ialah potensi virus berkenaan merebak ke negara lain terutama negara yang tidak bersedia menangani kes itu apabila hanya memiliki sistem kesihatan lemah.

"Majoriti kes di luar China berlaku disebabkan sejarah perjalanan ke Wuhan atau berhubung dengan mereka yang pergi ke wilayah itu,” katanya.

Kes membabitkan koronavirus ketika ini dilaporkan berlaku di lebih 20 negara seluruh dunia.

Filipina mencatatkan kematian pertama di luar China akibat virus itu diikuti kes kematian kedua di Hong Kong.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 1:15 PM