KAKITANGAN perubatan memeriksa pesakit di hospital di Wuhan.
KAKITANGAN perubatan memeriksa pesakit di hospital di Wuhan.
AFP

Beijing: China memecat dua pegawai kanan kesihatan di Hubei yang menjadi wilayah paling terjejas akibat penularan koronavirus baharu.

Saluran penyiaran rasmi China, CCTV melaporkan, ia berpunca daripada cara pihak berkuasa tempatan mengendalikan wabak itu.

Laporan itu menyebut Ketua Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Hubei, Zhang Jin dan pengarahnya, Liu Yingzi, dipecat daripada jawatan mereka.

Ia diputuskan oleh jawatankuasa Parti Komunis wilayah berkenaan, Isnin lalu.

Difahamkan, tindakan berkenaan diambil selepas pihak terbabit menerima tekanan susulan kematian seorang doktor yang memberi amaran awal berhubung bahaya virus berkenaan.

Menurut CCTV, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Wang Hesheng akan mengambil alih kedua-dua jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Beijing turut menghantar seorang pegawai kanan, Chen Yixin untuk menyelia kawalan wabak berkenaan.

Sebelum ini, penganalisis mengkritik tindakan pihak berkuasa tempatan yang cuba menyembunyikan laporan penularan wabak itu bagi menjaga imej dan kestabilan.

Ia menyebabkan larangan perjalanan lambat dikuatkuasakan sehingga menyebabkan penularan wabak berkenaan.

Pihak berkuasa di Wuhan juga dikritik selepas meneruskan jamuan besar-besaran untuk 40,000 keluarga, hanya beberapa hari sebelum perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar dikuatkuasakan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:01 AM
    Digital NSTP Subscribe