RUDI Hartono mengutip sampah dengan kostum Spiderman. FOTO Reuters
RUDI Hartono mengutip sampah dengan kostum Spiderman. FOTO Reuters
Agensi

Makkasar: Seorang pekerja kafeteria di Parepare, Sulawesi Selatan menarik perhatian ramai selepas mengenakan kostum adiwira Spiderman ketika mengutip sampah di jalanan dan pantai.

Inisiatif dilakukan Rudi Hartono, 36, itu, menjadi rutin sebelum syif kerjanya bermula pada jam 7 malam.

Ia bertujuan memupuk penduduk sekitar mengamalkan kebersihan.

Usahanya itu mendapat liputan meluas sehingga dia ditemuramah agensi akhbar dan muncul dengan kostum adiwira berkenaan dalam program televisyen.

Katanya, tanpa memakai kostum itu, usaha mengutip sampah dilakukannya tidak diendahkan orang ramai.

“Pada mulanya, saya mengutip sampah tanpa memakai kostum ini dan tidak menarik minat orang ramai untuk bersama melakukan aktiviti itu.

“Tetapi selepas memakai kostum ini, ia mula mendapat sambutan luar biasa orang ramai,” katanya.

Lelaki itu mengaku, dia membeli kostum Spiderman itu hanya untuk menghiburkan anak saudaranya sebelum menjadi perhatian orang ramai di bandar itu.

FOTO Reuters
FOTO Reuters

“Saya harap kerajaan akan melakukan lebih banyak inisiatif untuk membersihkan sampah dan perketat peraturan pengurusan sisa termasuk penggunaan plastik beg.

“Perkara paling penting adalah mengurangkan sisa plastik kerana bahan itu sukar dilupuskan,” katanya.

Sementara itu, penduduk setempat Saiful Bahri berkata, dia kagum dengan inisiatif dilakukan anak muda berkenaan.

“Kita perlukan contoh kreatif macam ini untuk menggalakkan masyarakat aktif terbabit dalam melindungi dan menjaga alam sekitar,” katanya.

Berdasarkan data Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia yang dikeluarkan pada 2018, bandar Parepare yang memiliki 142,000 populasi mengeluarkan sekitar 2.7 tan sisa tidak terurus setiap hari.

Kajian menunjukkan, Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 kepulauan dianggarkan sebagai pengeluar kedua bahan pencemar plastik terbesar di lautan selepas China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:30 AM