GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Bangkok: Polis Thailand mematahkan cubaan menyeludup kira-kira satu tan dadah, disembunyikan di dalam trak pikap yang sarat muatan sayur kubis, di wilayah Nakhon Sawan di utara negara itu.

Pada kejadian itu, lima lelaki turut ditahan.

Ketua Biro Anti Narkotik (NSB), Mejar Jeneral Bandit Thisapak berkata, operasi pada 8 dan 9 Februari itu menyaksikan rampasan 900 kilogram (kg) dadah jenis “syabu” dan 100 kg ketamin bernilai 365 juta baht (kira-kira RM48 juta)

“Pemandu trak ditangkap di sebuah pusat pemeriksaan pada 8 Februari. Kemudian, kami menangkap empat lagi anggota sindiket di wilayah Suphan Buri dan Ratchaburi.

“Siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai berasal dari wilayah Tak di utara Thailand dan untuk diedarkan ke kawasan selatan sebelum (diseludup ke negara jiran). Pasukan saya sudah menjejaki sindiket itu sejak September tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bandit berkata, anggota sindiket ‘ditugaskan’ untuk mengambil dadah tersebut di beberapa tempat untuk mengelak dikesan polis.

“Dalam kes itu, sekurang-kurangnya terdapat tiga hentian sebelum dadah tersebut sampai ke destinasi terakhir. Kita sedang buru dalang utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 5:10 PM