Putera Jepun, Hisahito bersaa ibu bapanya. FOTO Reuters.
AFP

Tokyo: Lelaki Jepun yang meletakkan dua pisau dapur di meja sekolah Putera Jepun, Hisahito dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.

Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan kepada empat tahun selepas lelaki terbabit Kaoru Hasegawa didapati bersalah memasuki premis sekolah menengah rendah di mana putera Jepun itu belajar, tanpa kebenaran.

Menurut jurucakap Mahkamah Daerah Tokyo, Hasegawa ditahan April lalu kerana disyaki memasuki premis berkenaan tanpa kebenaran.

Lelaki itu turut dituduh melanggar peraturan undang-undang senjata api Jepun.

Ketika kejadian, putera tunggal Putera Fumihito dan Puteri Kiko itu tiada di sekolah terbabit.

Pisau berkenaan yang diletakkan di atas mejanya ditemui pegawai sekolah berkenaan.

Hisahito,13, adalah anak saudara Maharaja Naruhito dan berada di kedudukan kedua sebagai pewaris takhta.

Dalam prosiding, hakim berkata jenayah yang dilakukan lelaki itu bersifat pentingkan diri dan sengaja meraih perhatian.

“Tiada ruang untuk kelonggaran (hukuman),” kata hakim dipetik berdasarkan stesen penyiaran NHK.

Insiden terbabit berlaku ketika pihak berkuasa meningkatkan kawalan selepas Maharaja Akihito melepaskan takhta selepas 30 tahun memerintah.

Ancaman terhadap empayar keluarga diraja itu jarang berlaku. Pada 1975, Akihito hampir dipukul dengan bom petrol di Okinawa, lokasi pertempuran Perang Dunia Kedua yang mempunyai sentimen kuat anti-maharaja.

Takhta maharaja Jepun hanya boleh diwarisi oleh pewaris lelaki berdasarkan Peraturan Empayar Istana sejak 1947.

Ini menimbulkan prospek krisis peralihan kuasa sekiranya Hisahito tidak mempunyai anak lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 5:36 PM