PAN berlari di dalam rumahnya. - FOTO Agensi
Agensi

SEORANG pelari amatur maraton di China terpaksa berlatih dengan berlari kira-kira 50 kilometer (km) di dalam apartmen, kerana wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ia selepas bandar Hangzhou, Zhejiang, wilayah timur China turut dikenakan sekatan pergerakan masuk dan keluar akibat wabak itu, sejak 5 Februari.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan Pan Shancu yang juga ahli terapi kesihatan itu berlari antara dua meja di dalam rumahnya itu, selama lima jam.

Dalam hantaran di Weibo yang tular, Pan berkata, “Saya sudah lama tidak berada di luar dan hari ini, saya tidak mahu duduk sahaja!

“Mari berlari antara dua meja di dalam bilik,” katanya.

Dia juga menunjukkan tangkap layar yang menunjukkan jumlah jarak larian berdasarkan aplikasi pada telefon bimbitnya

“Ya, satu pusingan adalah lapan meter, saya berlari 50 km dan melakukannya dalam masa empat jam, 48 minit dan 44 saat.

“Saya berpeluh teruk tetapi berasa sangat sihat,” katanya.

Pan antara jutaan rakyat China yang terpaksa berkurung di dalam rumah susulan penularan Covid-19.

Bandar itu terletak 370 km dari Wuhan yang menjadi lokasi tercetusnya wabak berkenaan.

SCMP melaporkan ada seorang wanita di China turut melakukan perkara hampir sama apabila berlumba lari seorang diri di dalam rumahnya, akibat Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:02 AM