HE memakai kostum zirafah bagi mengelak jangkitan Covid-19. FOTO Agensi.
Agensi

Beijing: Pelbagai kaedah digunakan bagi memastikan tidak dijangkiti wabak pembunuh koronavirus baharu (Covid-19) termasuk menggunakan kostum haiwan.

Seorang wanita di Luzhou ditemui di sebuah hospital dengan memakai kostum zirafah ketika menemani bapanya yang sering mendapatkan rawatan selepas dia mendakwa kehabisan stok penutup mulut dan hidung.

Wanita yang dikenali sebagai He itu memaklumkan dia membeli kostum itu minggu lalu selepas usahanya mendapatkan topeng mulut menemui jalan buntu kerana permintaan yang tinggi.

Daily Star melaporkan, He juga mendedahkan dia turut memakai kostum makhluk asing sekiranya kostum simpanan yang lain perlu dibasuh untuk memastikan kebersihan sentiasa terjamin.

Bukan setakat itu, tindakan He yang memakai plastik dari kepala hingga kaki turut tular di laman sosial sebelum ini.

Sebagai seorang wanita yang mementingkan kesihatan, He turut menawarkan diri ke bandar bagi mendapatkan bekalan ubat, selain memujuk doktor untuk memberikan rundingan menerusi kamera web.

“Saya sudah memakai kostum ini sejak topeng muka sudah tidak dijual,” kata He.

Permintaan topeng mulut dan hidung di China naik mendadak ekoran kebimbangan penduduknya dijangkiti Covid-19 yang kini sudah meragut lebih 1,500 nyawa di seluruh republik itu.

Lebih daripada 60,000 sudah dijangkiti, dengan kebanyakan kematian berlaku di Hubei.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 1:04 PM