GAMBAR hiasan. FOTO BBC News.
AFP

Beijing: China melakukan pembasmian kuman dan mengasingkan wang kertas yang sudah digunakan sebagai usaha menghentikan penyebaran koronavirus baharu (Covid-19) yang sudah membunuh lebih 1,500 orang, kata pegawai.

Pihak bank menggunakan sinaran pancaran ungu atau suhu tinggi untuk membasmi kuman, kemudian wang kertas yuan itu ditutup rapi dan disimpan dalam tempoh tujuh hingga 14 hari, bergantung kepada keseriusan wabak Covid-19 di kawasan terbabit sebelum diedar semula, kata bank pusat China dalam satu sidang media.

Virus yang sudah menjangkiti lebih 66,000 rakyat China dan tersebar ke lebih 20 negara, mencetuskan pelbagai usaha pembasmian kuman di tempat awam dan meminimumkan hubungan dengan orang ramai.

Bahan pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut di semua farmasi seluruh negara habis dalam tempoh beberapa hari selepas pengumuman ‘lockdown’ di bandar Wuhan, akhir Januari lalu, lokasi di mana Covid-19 dipercayai muncul.

Bangunan pejabat turut menempatkan tisu di dalam lif untuk menggalakkan penyewa menggunakannya ketika menekan butang.

Sementara, syarikat e-hailing Didi menasihati pemandunya melakukan pembasmian kuman kereta mereka setiap hari.

Timbalan Gabenor bank pusat China, Fan Yifei berkata, pihak bank turut digesa menyediakan wang kertas baharu kepada pelanggan sekiranya mungkin.

Bank pusat turut membuat ‘pengeluaran kecemasan’ empat bilion yuan wang kertas baharu ke wilayah Hubei, sebelum cuti Tahun Baharu Cina, baru-baru ini, kata Fan.

Langkah itu diambil untuk melindungi keselamatan dan kesihatan orang ramai ketika menggunakan wang tunai, kata Fan.

Bagaimanapun, tidak dipastikan sejauh mana keberkesanan pembasmian kuman itu, memandangkan peningkatan penggunaan pembayaran secara mudah alih dalam kalangan rakyat beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Covid-19 mudah merebak menerusi objek tercemar dan titisan serta hubungan langsung dengan orang yang dijangkiti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 3:18 PM