LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Reuters

Sihanoukville: Ujian saringan pengesanan susulan perlu dijalankan terhadap seorang pelancong wanita warga emas dari Amerika Syarikat (AS) yang dikesan positif koronavirus (Covid-19), semalam.

Reuters melaporkan, pengendali kapal persiaran MS Westerdam, Holland America Line dalam satu kenyataan berkata, ia bagi memastikan status sebenar wanita berusia 83 tahun itu.

“Kami menunggu laporan ujian saringan susulan untuk mendapatkan kepastian mengenai status wanita berkenaan,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Holland America Line turut menyatakan 236 penumpang dan 727 kru tidak berganjak keluar ketika kapal persiaran itu berlabuh di pelabuhan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Kemboja turut menggesa Malaysia untuk menyemak semula ujian yang dijalankan.

Ia berikutan ujian saringan dijalankan pihaknya yang mendapati tiada di antara penumpang berkenaan dijangkiti Covid-19.

Kementerian Kesihatan Kemboja dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan adalah hasil kerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Wabak AS.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang wanita positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR).

Ia menjadikan jumlah kes kumulatif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 22 secara keseluruhan.

Wanita itu seorang daripada 145 penumpang sebuah kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lalu.

Mangsa dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan dilaporkan dirawat di wad isolasi serta kini dalam keadaan stabil.

Sementara, ujian pengesanan Covid-19 bagi suaminya yang berusia 85 tahun dan juga warga Amerika Syarikat lain adalah negatif.

Namun, suami wanita itu turut menerima rawatan dan pemantauan di Hospital Sungai Buloh bagi gejala yang dialaminya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 10:57 AM