KLIP video seorang suami melawat isterinya yang turut dijangkiti Covid-19 menyentuh hati warganet. - Agensi
KLIP video seorang suami melawat isterinya yang turut dijangkiti Covid-19 menyentuh hati warganet. - Agensi
Agensi

BEIJING: Kesetiaan seorang suami berusia 87 tahun menjaga isterinya yang turut dijangkiti wabak koronavirus baharu (Covid-19) menyentuh hati warganet selepas video mereka tular di laman sosial.

Gulf News melaporkan klip video itu mendapat perhatian warganet selepas dimuat naik akhbar di China iaitu People’s Daily di laman Twitter rasminya.

Video itu dimuat naik bersama kapsyen menyentuh hati iaitu: “Saya akan mencintai kamu selamanya, setiap hari dan selama-lamanya.”

Menerusi klip video berdurasi 18 saat itu, lelaki berkenaan yang turut dijangkiti Covid-19 dilihat memegang tiub air dan menyuap makanan ke mulut isterinya yang terbaring di atas katil.

Difahamkan, lelaki berkenaan dirawat di wad sebelah dan datang melawat untuk menjaga serta berada di sisi isterinya.

Perkongsian video itu meraih lebih 125,000 tontonan dengan rata-rata warganet mendoakan kesembuhan pasangan berkenaan.

Dalam pada itu, AFP semalam melaporkan angka kematian akibat wabak koronavirus baharu (Covid-19) di China, meningkat kepada 1,868 orang.

Ia selepas 98 lagi individu yang dijangkiti virus berkenaan dilaporkan meninggal dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:01 AM