GAMBAR fail menunjukkan Diamond Princess ketika dikuarantin di pelabuhan di Yokohama. FOTO Reuters.
GAMBAR fail menunjukkan Diamond Princess ketika dikuarantin di pelabuhan di Yokohama. FOTO Reuters.
Reuters

TOKYO: Menteri Kesihatan Jepun memohon maaf selepas seorang bekas penumpang kapal persiaran Diamond Princess yang sebelum ini dibenar mendarat, positif koronavirus baharu (Covid-19).

Wanita berusia 60-an itu sebelum ini dibenarkan meninggalkan kapal terbabit selepas tempoh kuarantin dua minggu, tamat.

Bagaimanapun, wanita terbabit disahkan positif selepas diuji sekali lagi di Tochigi, di utara Tokyo.

“Kami memohon maaf kerana terlepas pandang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya akan menjalankan ujian kali kedua kepada 23 bekas penumpang kapal berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Diamond Princess diarah menjalani kuarantin dua minggu, ketika berlabuh di Yokohama, pada 3 Februari.

Ia selepas seorang bekas penumpangnya yang pernah belayar dengan kapal itu tetapi sudah mendarat di Hong Kong, disahkan positif Covid-19.

Susulan itu, 3,700 penumpangnya diarah berkurung di dalam kabin sementara tempoh kuarantin itu berakhir.

Daripada jumlah itu, lebih 600 penumpang disahkan positif wabak berkenaan, sekali gus menjadikan ia sebagai kluster Covid-19 terbesar di luar China.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 11:44 AM