KAIN rentang Modi dan Trump dipasang di bandar Ahmedabad. FOTO Reuters
KAIN rentang Modi dan Trump dipasang di bandar Ahmedabad. FOTO Reuters
AFP

GUJARAT: Misteri kehilangan haiwan seperti anjing, lembu, monyet dan burung yang biasa berkeliaran di sekitar bandar di barat India menjadi tanda tanya penduduk setempat.

Malah, sebuah tembok tiba-tiba dibina sepanjang Ahmedabad ke Stadium Sardar Patel didakwa bagi melindungi kawasan setinggan di bandar itu.

Perubahan drastik berkenaan menjadi pertikaian dan kecoh dalam kalangan penduduk tempatan yang beranggapan tindakan itu dibuat sempena kunjungan rasmi pertama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara itu.

Pasukan Jabatan Kawalan Anjing Pengacau dan Lembu Ternakan (CDNCD) dikatakan bertungkus-lumus mengangkut anjing dan lembu liar yang sebelum ini menjadi pemandangan biasa di bandar itu.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan jabatan perhutanan negeri juga ‘membersihkan’ burung dan monyet sepanjang kawasan laluan Lapangan Terbang Ahmedabad.

Haiwan itu dipercayai dikurung dalam sangkar, diberi makan dan dibawa ke suatu tempat.

Seorang penduduk setinggan, Sardar Sarania berkata, dia berasa jijik dengan tindakan Perdana Menteri Narendra Modi, untuk menyembunyikan realiti.

“Jadi Modi membuat segalanya (supaya nampak) bagus dan ada pembinaan di mana-mana kan?

“Tapi dia sembunyikan kami di belakang (tembok) sini,” katanya meluahkan kekecewaannya kepada AFP.

Seluruh bandar berkenaan meriah dengan kain rentang mempamerkan gambar Trump, Modi dan Melania Trump bertemakan Namaste Trump itu yang dianggap sebagai peristiwa bersejarah dalam hubungan AS-India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 7:05 AM
Digital NSTP Subscribe