ASAYEL Slay berdepan penahanan berikutan video muziknya cetus kontroversi. FOTO Asayel Slay
ASAYEL Slay berdepan penahanan berikutan video muziknya cetus kontroversi. FOTO Asayel Slay
Agensi

RIYADH: Seorang penyanyi di Arab Saudi dikenali sebagai Asayel Slay kini dalam radar pihak berkuasa negara itu berikutan video muziknya berjudul Mecca Girl yang mencetuskan kontroversi.

Memetik laporan BBC News, lagu berkenaan berkisarkan pujian terhadap wanita Makkah sebagai wanita ‘berkuasa dan cantik.’

Video berkenaan dimuat naik penyanyi muda itu ke YouTube, minggu lalu.

“Penghormatan kami buat semua gadis, tetapi gadis Makkah disifatkan manis seperti gula,” dendang penyanyi itu dalam video klip yang turut kelihatan wanita dan lelaki menari di sebuah kafeteria.

Video muzik itu dikongsi secara meluas di media sosial dan pengguna meletakkan tanda pagar #Mecca_Girl_Represents_Me.

Khamis lalu, Gabenor Makkah, Khaled al-Faisal mengarahkan penahanan individu di sebalik video berkenaan yang dianggap sebagai penghinaan kepada kota suci itu.

Bagaimanapun, arahan tangkapan berkenaan mengundang kemarahan pengguna media sosial yang menggelar pihak berkuasa sebagai hipokrit.

Mereka menuduh pihak berkuasa mempromosikan imej moden di luar negara namun sebaliknya di dalam negara.

“Ini sangat tipikal dilakukan kerajaan Arab Saudi. Bawa masuk influencer barat tetapi anak tirikan wanita Arab Saudi yang cuba mengetengahkan identiti budaya sendiri,” ciap Amani al-Ahmadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 7:35 AM
Digital NSTP Subscribe