SEORANG wanita dilihat di kawasan kejiranan di Wuhan, Hubei. FOTO Reuters
SEORANG wanita dilihat di kawasan kejiranan di Wuhan, Hubei. FOTO Reuters
Reuters

BEIJING: China menghantar pasukan khas ke Wuhan bagi menyiasat dakwaan penjara membebaskan wanita dijangkiti koronavirus yang kemudiannya mengembara ke Beijing.

Suruhanjaya Politik dan Hal Ehwal Undang-Undang Parti Komunis China berkata, pasukan itu dianggotai oleh Kementerian Keadilan dan Mahkamah Agung.

Media sebelum ini melaporkan bahawa ada banduan yang dijangkiti koronavirus dibebaskan dari penjara wanita di Wuhan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Ahli keluarganya kemudian membawa individu itu ke Beijing.

Laporan itu menimbulkan kemarahan warganet yang mempersoalkan cara wanita itu keluar dari Wuhan yang dikenakan sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown), selama lebih sebulan.

“Kami individu sihat terkurung dalam Wuhan dan dia (bekas banduan) boleh keluar dari sini walaupun demam,” kata seorang pengguna media sosial, Weibo.

Dalam pada itu, pihak berkuasa penjara di Hubei memberitahu The Beijing News, pada Rabu, bahawa individu itu dibebaskan mengikut cara yang betul.

Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit Beijing juga mengesahkan wanita terbabit dijangkiti SARS-Cov-2 atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk.

Ia jangkitan berpunca dari koronavirus tetapi berbeza dengan koronavirus baharu (Covid-19).

Wanita itu bernama Huang kini dikuarantin bersama keluarganya di Beijing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 12:26 PM