GELAGAT penduduk di China  menyentuh kasut sebagai ganti  bersalaman ekoran kebimbangan penularan wabak Covid-19. FOTO Weibo
GELAGAT penduduk di China menyentuh kasut sebagai ganti bersalaman ekoran kebimbangan penularan wabak Covid-19. FOTO Weibo
Agensi

BEIJING: Bagi mengelak daripada dijangkiti Covid-19, penduduk di China kini menukar cara bersalaman dengan menyentuh kaki berbanding tangan seperti kebiasaan.

Video yang tular di laman sosial menunjukkan orang ramai hanya menyentuh kasut masing-masing yang kini dilihat semakin diterima umum.

Daily Mail UK melaporkan, menerusi Weibo, laman sosial terkenal negara itu, banyak video dikongsi menunjukkan orang ramai menyapa antara satu sama lain dengan hanya menyentuh kasut.

Dalam perkongsian lain juga, ada pengguna aplikasi itu turut merakam gelagat orang ramai yang menyentuh kasut bagi mengelak daripada berjabat tangan.

“Sekarang kita perlu mendapatkan kasut yang berkualiti. Mereka ini begitu kreatif,” komen warganet yang terhibur dengan trend terbaru sejak Covid-19 mula merebak di negara itu sejak penghujung tahun lalu.

Kebiasaannya, masyarakat dunia akan bersalaman sesama mereka ketika bertemu, namun ia kini mungkin tidak diteruskan ketika tempoh penularan wabak Covid-19 yang sudah merebak lebih 25 negara.

Wuhan di wilayah Hubei menjadi pusat penularan wabak Covid-19 yang kini mengorbankan ribuan nyawa selain menyebabkan jangkitan puluhan ribu yang lain.

Bagi mengatasi masalah kekurangan lokasi rawatan, China turut membina sebuah hospital di Wuhan dalam tempoh 10 hari yang mampu menampung 10,000 pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 7:45 AM