PENGAWAI Imigresen Thailand membersihkan kuanter pemeriksaan di Lapangan terbang Suvarnabhumi, Bangkok. FOTO AFP/Biro Imigresen Thailand
PENGAWAI Imigresen Thailand membersihkan kuanter pemeriksaan di Lapangan terbang Suvarnabhumi, Bangkok. FOTO AFP/Biro Imigresen Thailand
Reuters

BANGKOK: Thailand bakal menggantung sementara Visa Ketibaan (VoA) untuk pelawat dari 19 negara dan kawasan sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

Ia membabitkan Bulgaria, Bhutan, China, Cyprus, Ethiopia, Fiji, Georgia, India, Kazakhstan, Malta, Mexico, Nauru, Papua New Guinea, Romania, Russia, Arab Saudi, Taiwan, Uzbekistan dan Vanuatu.

Senarai berkenaan diperolehi berdasarkan pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Thailand.

Menteri Dalam Negeri, Anupong Paochinda berkata, mana-mana rakyat asing yang mahu ke negara itu perlu memohon visa dengan Kedutaan Thailand.

“Mana-mana Kedutaan Thailand akan memastikan tiada individu sakit melakukan perjalanan ke Thailand.

“Pengecualian visa akan dibatalkan kepada Korea Selatan, Itali dan Hong Kong.

“Langkah ini akan menyelesaikan masalah kemasukan pelawat asing dari zon berisiko,” katanya kepada media.

Anupong berkata, pihaknya akan memulakan proses berkenaan secepat mungkin, namun tidak dijelaskan bila penggantungan sementara itu akan dikuatkuasakan.

Sementara itu, pegawai di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri berkata, pemohon visa perlu mengemukakan sijil perubatan dan insurans sebagai sebahagian daripada proses saringan di Kedutaan Thailand.

Minggu lalu, Thailand menggelar Korea Selatan, China, Macau, Hong Kong, Itali dan Iran sebagai ‘kawasan berbahaya penyakit berjangkit’.

Pihak berkuasa Thailand turut menggesa orang ramai yang tiba dari enam tempat itu menjalankan kuarantin sendiri selama 14 hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:22 PM