Agensi

SEORANG wanita berusia 21 tahun di India yang menjalani pemindahan tangan terkejut apabila mendapati tangan baharunya itu berubah mengikut warna kulitnya.

Selepas dua tahun, tangan asal milik lelaki yang berkulit gelap dan berbulu itu perlahan-lahan bertukar kepada warna lebih cerah.

Hari ini, tiada siapa menyangka Shreya Siddanagowder pernah kudung kedua-dua tangan akibat kemalangan bas, pada 2016.

Menceritakan perkara itu, wanita dari Pune, barat India itu berkata, kemalangan bas ketika berusia 18 tahun menyebabkan dia kehilangan kedua-dua tangan.

Ia apabila doktor memutuskan untuk memotong tangganya dari paras siku.

Bagaimanapun, dia nekad untuk menjalani pemindahan tangan selepas diberitahu ada penderma pada Ogos 2017.

Ia demi ‘kehidupan baharu’ meskipun mengetahui tangan itu adalah milik lelaki dan berwarna gelap.

SHREYA selepas menjalani pembedahan.
SHREYA selepas menjalani pembedahan.

Ibu Shreya, Suma ketika ditemu bual AFP berkata, pihaknya diberitahu bahawa tangan itu milik seorang lelaki yang tinggi dan mempunyai jari besar.

“Shreya kemudian menjalani pembedahan selama 13 jam untuk mencantumkan tangan baharu itu kepada anggota badannya.

“Sedikit demi sedikit, warna tangan baharu itu bertukar lebih cerah kepada warna kulit Shreya.


“Sekarang tiada siapa perasan tangan itu sebenarnya milik lelaki. Malah, dia sudah mula memakai barang kemas dan menatarias kuku,” katanya.

Doktor juga hairan dengan apa yang terjadi kepada wanita itu.

Hanya 200 pemindahan tangan berjaya dilakukan di seluruh dunia, termasuk sembilan di India.

Kes pertama direkodkan di Amerika Syarikat pada 1999 membabitkan mangsa mercun.

Dalam pada itu, ahli dermatologi terkemuka dari New Delhi, Dr Shehla Agarwal berkata, perubahan warna berkenaan mungkin disebabkan ketiadaan hormon testosteron.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:01 AM