Agensi

SEORANG pesakit Covid-19 di United Kingdom disahkan positif Covid-19 selepas bertemu dengan kekasih gelapnya di Itali.

Lelaki itu kini menjalani pengasingan selepas pulang ke negara itu.

Bagaimanapun, lelaki terbabit kini bingung untuk memberitahu kepada isterinya berhubung punca jangkitan berkenaan.

Dailymail melaporkan wanita itu tidak tahu bagaimana pasangannya mendapat Covid-19.

Bagaimanapun, lelaki itu ada mengaku kepada pasukan perubatan di utara England bahawa dia sebelum itu ke Itali untuk bertemu wanita lain.

Lelaki terbabit enggan memberitahu identiti wanita misteri itu kerana mungkin bimbang ia diketahui oleh isterinya.

Sumber berkata, kes itu menjadi lucu walaupun sebenarnya membabitkan isu keselamatan kesihatan yang serius.

“Lelaki itu mengaku pergi ke Itali dan isterinya tidak mengetahui.

“Wanita itu pada mulanya hanya terfikir suami mendapat virus ketika urusan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam rawatan, lelaki itu bertegas tidak mahu menamakan perempuan simpanannya.

Setakat semalam, United Kingdom mencatatkan 1,950 kes positif Covid-19 dan daripada jumlah itu, 71 orang disahkan meninggal dunia.

Pesakit paling tua direkodkan meninggal dunia di negara itu berusia 95 tahun.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:00 AM