PUTERI Maria. FOTO Agensi.
PUTERI Maria. FOTO Agensi.
Agensi

Madrid: Sepupu Raja Sepanyol, Puteri Maria Teresa, menjadi mangsa pertama keluarga diraja di dunia yang maut akibat Covid-19.

Memetik portal Daily Mail, Maria berusia 86 tahun itu meninggal dunia selepas disahkan positif virus berkenaan yang turut meragut 5,690 nyawa di seluruh negara itu.

Kematian puteri terbabit diumumkan adik bongsunya, Putera Sixtus Henry dari kerabat diraja Bourbon-Parma.

Berita sedih itu berlaku selepas Putera Charles, 71, mempunyai gejala ringan wabak itu.

Maria yang dilahirkan di Paris, Perancis pada 28 Julai 1933 anak kepada pasangan Putera Xavier dan Madeleine de Bourbon yang memiliki enam pewaris.

Sepanyol merekodkan lebih 800 jumlah kematian akibat wabak itu dalam tempoh sehari yang mendorong penyerahan kuasa darurat kepada pasukan tentera.

Dalam tempoh 24 jam, angka kematian direkodkan adalah 832 menjadikan jumlah kematian di negara itu melonjak kepada 5,690 sejak wabak itu muncul.

Rekod terbaru itu mengatasi angka direkodkan pada Jumaat iaitu 769.

Ia meletakkan Sepanyol kini sebagai negara kedua paling terjejas selepas Itali dan mengatasi China yang merekodkan kematian 3,295.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 11:17 AM