PROSES pembuatan sarung tangan. FOTO Arkib NSTP
PROSES pembuatan sarung tangan. FOTO Arkib NSTP
Reuters

Kuala Lumpur: Pengeluar terbesar sarung tangan dunia menjangkakan bekalan berkurangan susulan permintaan tinggi dari pasaran Eropah dan Amerika Syarikat akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Eksekutif Malaysia Top Glove Corporation Bhd, Lim Wee Chai berkata, pihaknya terpaksa memanjangkan tempoh penghantaran daripada 30 kepada 150 hari bagi memenuhi peningkatan permintaan pelanggan.

Katanya, mereka menerima tempahan pesanan hampir dua kali ganda daripada kapasiti pengeluaran biasa dari Eropah dan AS beberapa minggu lalu.

“Setiap hari, Top Glove mampu mengeluarkan 200 juta sarung getah semula jadi dan sintetik.

“Segelintir pelanggan membuat tempahan panik, biasanya mereka tempah 10 kontena sebulan tetapi kini mereka tiba-tiba menambah 20 kontena.

“Mereka tempah lebih 100 peratus, tetapi kami hanya mampu meningkatkan 20 peratus saja jadi sudah tentu akan berlaku kekurangan bekalan antara 50 hingga 80 peratus,” katanya kepada Reuters menerusi panggilan telefon.

Beliau meramalkan, momentum pembelian luar biasa ini boleh bertahan dalam tiga bulan lagi, namun pesanan seumpama ini dijangka kekal hingga sembilan bulan walaupun permintaan dari pasaran Asia mula perlahan.

Katanya, mereka menambah mesin baharu setiap minggu untuk meningkatkan hasil pengeluaran sehingga 30 peratus serta meningkatkan penggunaan kilang daripada 10 kepada 95 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 1:14 PM