PENDUDUK beratur untuk membuat saringan Covid-19 di kejiranan Elmhurst, New York, semalam.
PENDUDUK beratur untuk membuat saringan Covid-19 di kejiranan Elmhurst, New York, semalam.
Agensi

JUMLAH jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) di seluruh dunia kini mencecah satu juta kes.

Pada masa sama, jumlah kematian akibat wabak itu menghampiri 50,000 orang.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya menjangka angka korban menjadi satu juta hanya dalam beberapa hari lagi.

“Saya bimbang dengan penularan wabak ini yang amat pantas,” katanya seperti dilaporkan AFP.

Setakat semalam, Amerika Syarikat (AS) menjadi negara yang merekodkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi iaitu 215,417 kes.

Ia berdasarkan data dari Universiti Johns Hopkins di Baltimore, Maryland, AS.

Data sama menunjukkan 5,116 orang di negara itu disahkan meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Secara perbandingan, angka korban di AS lebih rendah berbanding di Itali dan Sepanyol.

Bagaimanapun, ia sudah jauh melepasi jumlah mangsa maut yang direkodkan di China iaitu negara yang menjadi pusat penularan wabak berkenaan.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini meramalkan angka korban di negara itu berada pada tahap tertinggi dalam masa dua minggu lagi.

Ketika ini, hampir separuh penduduk dunia menjalani perintah berkurung dengan sebahagian besarnya adalah rakyat India dengan 1.3 bilion orang.

Dalam pada itu, AFP melaporkan sebahagian besar mangsa maut akibat Covid-19 adalah warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain.

Bagaimanapun, beberapa kes mendapati bahawa ia turut menyebabkan kematian kepada individu sihat.

Ini termasuk kanak-kanak berusia 13 tahun di Perancis, budak berusia 12 tahun di Belgium dan seorang lagi kanak-kanak berusia 13 tahun di Britain.

Di AS, seorang bayi berusia enam minggu juga disahkan meninggal dunia akibat wabak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 6:01 AM