ACHMAD turut menyertai kerja memindahkan jenazah. FOTO Agensi.
ACHMAD turut menyertai kerja memindahkan jenazah. FOTO Agensi.
Agensi

Bandung: Jenazah seorang pesakit Covid-19 yang baru dikebumikan di tanah perkuburan di satu perkampungan di Jawa Tengah terpaksa dipindahkan ke lokasi lain.

Ia selepas penduduk di kampung terbabit tidak membenarkan mangsa dikebumikan di kampung mereka kerana bimbang dijangkiti wabak berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang diterima oleh Kompas, penduduk di tiga kawasan lain yang terletak berhampiran juga menolak cadangan pihak berkuasa untuk mengebumikan jenazah mangsa itu di kawasan perkampungan mereka.

Bagaimanapun, laporan sama tidak menyebut di mana lokasi jenazah itu akhirnya disemadikan.

Terdahulu, Kompas melaporkan individu terbabit meninggal dunia di hospital tempatan sebelum jenazahnya dibawa pulang ke kampung untuk dikebumikan.

Pesakit berasal dari Purwokerto Timur dilaporkan meninggal dunia selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital.

Datuk Bandar Banyumas, Achmad Husein berkata, pihaknya sudah menyediakan tiga liang lahad untuk mengebumikan mayat pesakit Covid-19, namun ia ditolak penduduk.

Dalam pada itu, Achmad turut menyertai kerja memindahkan jenazah itu ke lokasi lain bagi membuktikan kepada penduduk kampung bahawa jenazah itu tidak mendatangkan bahaya kepada kesihatan mereka.

“Saya mahu penduduk tahu mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak berbahaya dan mayatnya boleh dikebumikan.

“Pada masa akan datang saya akan maklumkan kepada penduduk dan masyarakat setempat mengenai maklumat yang tepat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 6:00 AM