Agensi

Paris: Sebahagian pasar borong makanan terbesar di dunia, Rungis Market, kini bertukar kepada rumah mayat sementara susulan peningkatan jumlah kematian di Perancis akibat Covid-19.

Sebanyak 6,507 kematian akibat wabak itu dilaporkan di negara itu selepas pihak berkuasa melakukan penambahbaikan dalam pangkalan data rasminya.

Ketua Pihak Berkuasa Kesihatan Perancis, Jerome Saloman berkata, jumlah kematian di hospital akibat Covid-19 meningkat 12 peratus dengan Paris menjadi lokasi paling terjejas ekoran penularan pandemik itu.

Polis sudah menukar sebahagian ruang Rungis Market yang terletak di luar Paris sebagai lokasi sementara bagi menempatkan mayat memandangkan rumah mayat kini sudah melebihi kapasiti.

Dalam satu kenyataan, Polis Perancis berpendapat pelaksanaan langkah itu membolehkan mayat diletak di tempat yang ‘boleh diterima’ dan ‘bermaruah’.

Ketua Polis Paris, Didier Lallement berkata, pihak berkuasa mencari lokasi yang sesuai dan luas untuk menampung keperluan semasa.

“Kerja pengubahsuaian di lokasi berkenaan juga sudah hampir siap dan keranda dibawa masuk pada Jumaat,” katanya.

Dua bilik melawat juga disediakan kepada ahli keluarga mangsa untuk memberi penghormatan terakhir.

Menerusi penjarakan sosial, hanya 20 orang dibenarkan masuk ke dalam bilik berkenaan pada satu-satu masa.

Ini bukan kali pertama sebahagian ruang pasar itu dijadikan rumah mayat. Langkah sama pernah dilakukan pada 2003 ketika peningkatan mangsa maut akibat fenomena gelombang di negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 6:31 AM