POLIS Thailand berkawal di sekatan jalan raya di Narathiwat, wilayah selatan negara itu susulan perintah berkurung di seluruh negara kerana Covid-19. FOTO AFP.
POLIS Thailand berkawal di sekatan jalan raya di Narathiwat, wilayah selatan negara itu susulan perintah berkurung di seluruh negara kerana Covid-19. FOTO AFP.
BERNAMA

Pattani: Kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengumumkan tindakan gencatan senjata, khusus bagi menyediakan akses bantuan perubatan dan kemanusiaan buat penduduk di wilayah yang terjejas akibat Covid-19 itu di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan bertarikh 3 April lalu, kumpulan itu mengumumkan “langkah menghentikan semua aktivitinya” berkuat kuasa dari Jumaat (3 April), selagi “BRN tidak diserang oleh petugas kerajaan Thailand”.

“Bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sesuai dan selamat buat kaum Pattani mendapatkan bantuan agensi-agensi serta pertubuhan kesihatan yang diberi tanggungjawab menyekat penularan jangkitan Covid-19, BRN kini mengambil langkah-langkah bagi menghentikan semua aktiviti,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat sekretariat kumpulannya.

Menurut BRN, pandemik Covid-19 yang telah meragut beberapa nyawa di wilayah selatan adalah “musuh utama umat manusia” dan kumpulan itu mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dalam membanteras penularan penyakit itu.

“Sebagai pelindung kepada Negara Pattani, BRN menyeru seluruh Pattani untuk berjuang bagi melindungi diri antara satu sama lain, dan keluarga masing-masing, semampu mungkin, dan berdoa kepada Ilahi,” menurut kenyataan itu, dan menambah menjadi tanggungjawabnya untuk memelihara “negara kita dan pewarisnya” daripada dijangkiti virus itu.

Kumpulan itu berkata kesusahan yang dihadapi penduduk di Pattani, diburukkan lagi dengan operasi-operasi ketenteraan, yang tidak “berperikemanusiaan”.

Pihak berkuasa pusat pentadbiran Covid-19 Thailand (CCSA) sebelum ini melaporkan 20 rakyat Thailand telah meninggal dunia akibat virus itu, yang telah menjangkiti 2,067 orang.

Perdana Menteri Thailad, Jen Prayut Chan-o-cha pula telah mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara dari 10 malam hingga 4.00 pagi berkuat kuasa Jumaat lalu dalam usaha menyekat penularan jangkitan virus itu.

Dengan bantuan Malaysia, dialog perdamaian antara BRN dan Thailand telah diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan Mac lalu, dalam usaha membawa keamanan kepada wilayah bergolak Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla.

Sebagai kumpulan bersenjata yang paling berpengaruh di selatan Thailand, BRN dipersalahkan oleh pihak berkuasa Thailand terhadap kebanyakan konflik bersenjata yang berkaitan keganasan di wilayah selatan negara itu.

Konflik bersenjata di selatan Thailand yang bersempadan dengan utara Malaysia telah berlaku sejak tahun 2004 lagi, meragut lebih 7,000 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:48 PM