CARTOZO mengadakan kuiz di balkoni untuk jirannya. FOTO Euronews
CARTOZO mengadakan kuiz di balkoni untuk jirannya. FOTO Euronews
Agensi

PARIS: Pelbagai kreativiti dilakukan masyarakat dunia bagi menghilangkan kebosanan sebaik perintah berkurung dilaksanakan di negara mereka.

Tidak ketinggalan, seorang lelaki di sebuah apartmen di Rue Saint-Bernard, di sini, yang mengadakan kuiz di balkoni untuk jirannya.

Euronews melaporkan Noam Cartozo yang juga pengacara dan pelawak mengendalikan kuiz itu.

Dia juga membaling tisu tandas dan pasta kepada jirannya yang memberi jawapan tepat.

Cartozo melaungkan soalan kuiz dari balkoni rumahnya di tingkat lima bangunan berkenaan.

“Bendera negara apakah yang ada kuning bersilang di tengah dengan latar belakang biru?” katanya.

Pertanyaan itu dijawab sebilangan penduduk dengan jawapan Sweden sambil diiringi tepukan gemuruh.

Cartozo turut menyiarkan kuiz itu secara langsung di Instagramnya dan ia meraih 1.1 juta tontonan.

“Saya lihat ramai jiran bersedih ketika perintah berkurung ini.

“Saya mahu wujudkan suasana baharu bagi mengatasi kesedihan mereka dengan melakukan aktiviti menyeronokkan,” katanya.

Minggu ini, Perancis menjadi negara keempat dengan kadar kematian akibat Covid-19 yang melepasi 10,000 mangsa.

Negara lain adalah Amerika Syarikat, Itali dan Sepanyol.

Menurut Cartozo, dia mendapat idea mengadakan kuiz selepas melihat ramai penduduk keluar di balkoni rumah mereka pada pagi dan malam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 7:30 AM