ANJING milik Carlos mati selepas tersadung batu sebelum terseret di atas jalan. FOTO Facebook
ANJING milik Carlos mati selepas tersadung batu sebelum terseret di atas jalan. FOTO Facebook
Agensi

MADRID: Seekor anjing mati selepas diikat pemiliknya pada belakang kereta dan dipaksa berlari sehingga  tubuhnya terseret di atas jalan. 

Bagaimanapun, Express UK melaporkan lelaki itu ditahan selepas pengasas pusat menyelamat haiwan, Yolanda Reyez Hernandez melaporkannya kepada pihak polis menerusi perkongsian gambar keadaan  anjing malang itu di media sosial. 

Kejadian itu berlaku Khamis lalu  ketika pemilik haiwan bernama Carlos bersama isteri dan anak lelakinya dalam perjalanan ke rumah kedua mereka di El Molar.

Menerusi perkongsian di Facebook, Yolanda memberitahu  bagi menghilangkan kebosanan  akibat menjalani  kuarantin di rumah, keluarga itu membawa anjing peliharaan keluar  sebelum mengikatnya di belakang kereta. 

“Anjing itu dipaksa berlari sejauh beberapa batu sebelum tersadung dan terseret di atas jalan sebelum mati kerana lehernya terjerut. 

“Ada jiran menyaksikannya cuba menghentikan kenderaan keluarga berkenaan sebelum merampas kunci kereta seterusnya menghubungi saya. 

“Polis menjalankan kerja mereka  dan kami membuat  laporan atas perbuatan individu terbabit yang menyebabkan kematian haiwan peliharaannya,” tulisnya. 

Menurut Yolanda, lelaki itu direman dan menunggu masa dibicarakan. 

“Terima kasih kepada semua kerana  mengambil risiko menangkap pembunuh itu termasuk pengawal keselamatan yang membantu mengendalikan kes ini,” tulisnya.  

Insiden itu mendapat perhatian pencinta haiwan dengan rata-ratanya mengecam tindakan lelaki berkenaan yang bukan hanya membunuh haiwan, tetapi ingkar arahan berada di rumah ketika perintah berkurung masih berkuat kuasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 7:45 AM