PETUGAS kesihatan sedang melihat pesakit di Pusat Konvensyen di Guayaquil, Ecudor. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan sedang melihat pesakit di Pusat Konvensyen di Guayaquil, Ecudor. FOTO AFP
AFP

Paris: Angka kematian seluruh dunia akibat Covid-19 mencecah 230,309 kes dengan jumlah jangkitan direkodkan 3.2 juta.

Berdasarkan data dikumpulkan AFP daripada sumber rasmi, jumlah kematian itu direkodkan daripada 3,218,415 kes jangkitan dari 195 negara dan wilayah.

Hampir 90 peratus jumlah korban daripada pandemik itu membabitkan Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Eropah mencatat 137,714 kematian manakala berdasarkan data Johns Hopkins University, AS merekodkan (62,906 maut) dengan pertambahan 2,053 kematian dalam tempoh 24 jam.

Itali muncul negara kedua tertinggi terjejas dengan pandemik itu dengan merekodkan 27,967 mangsa maut diikuti United Kingdom (26,711), Sepanyol (24,543) dan Perancis (24,376).

Persatuan Farmasi dan Persekutuan Pengilang Antarabangsa berkata, lebih 130 penawar sedang dikaji bagi merawat Covid-19.

Makmal farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer Inc (Pfizer) berharap dapat melancarkan 20 juta dos vaksin Covid-19 akhir tahun ini hasil pembangunan bersama dengan firma Jerman Biontech.

Kumpulan farmaseutikal Britain, AstraZeneca bekerjasama dengan University of Oxford untuk membangunkan dan mengedarkan vaksin berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 11:52 AM