PETUGAS Badan Perhutanan dan Taman Jakarta mengebumikan jenazah pesakit yang meninggal dunia akibat koronavirus di Tanah Perkuburan Awam Tegal Alur, Jakarta Barat. FOTO Jakarta Post.
PETUGAS Badan Perhutanan dan Taman Jakarta mengebumikan jenazah pesakit yang meninggal dunia akibat koronavirus di Tanah Perkuburan Awam Tegal Alur, Jakarta Barat. FOTO Jakarta Post.
Agensi

Jakarta: Angka sebenar kematian akibat Covid-19 di Indonesia mungkin jauh lebih tinggi berbanding catatan rasmi, berikutan beberapa wilayah yang merekodkan ratusan kematian dalam kalangan pesakit di bawah pengawasan (PDP).

Pesakit ini merujuk kepada mereka yang mempunyai simptom Covid-19, namun belum disahkan menghidap penyakit itu, yang mana mereka menunggu untuk menjalani ujian atau keputusan.

The Jakarta Post melaporkan, jumlah kematian direkod kerajaan pusat setakat Selasa sebanyak 773, tidak termasuk pesakit PDPs yang meninggal dunia, dan hanya baru-baru ini kerajaan mula mengumumkan jumlah PDPs dan orang dalam pemerhatian (ODP) di seluruh negara.

Sebelum ini, hanya pentadbir tempatan mendedahkan angka berkenaan, dengan setengah daripadanya lebih awal mendedahkan jumlah kematian dalam kalangan pesakit disyaki.

Banten, daerah berjiran Jakarta mendedahkan di laman webnya pada Selasa iaitu 144 daripada 1,382 PDP meninggal dunia. Jawa Timur pula melaporkan 235 kematian dalam kalangan 2,769 PDP dan 53 kematian daripada 18,509 ODP.

Jumlah ini lebih tinggi berbanding kematian rasmi dilaporkan di kedua-dua wilayah itu, iaitu 41 dan 90 kes.

Jakarta pula tidak melaporkan data sebegitu tetapi mendedahkan di laman webnya bahawa 1,666 pesakit meninggal dunia dikebumikan mengikut protokol Covid-19 setakat 24 April.

Jumlah itu juga lebih tinggi daripada angka kematian di kota berkenaan yang hanya dilapor 370 kes pada Selasa.

Manakala, Jawa Tengah tidak melaporkan angka secara tepat tetapi berdasarkan rajah kematian akibat penularan wabak itu, dijangkakan jumlahnya sekitar 200 kematian, berbanding jumlah rasmi 58.

Yogyakarta pula merekodkan tujuh kematian dalam kalangan pesakit disyaki sementara wakil rasmi menganggar tujuh kes.

Begitu juga di Sulawesi Selatan yang mempunyai 81 kes kematian berbanding angka rasmi, 37 kes walaupun kemudiannya dilaporkan jumlah itu termasuk mereka yang negatif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 4:04 PM