GELUNG tayar gergasi digunakan  bagi  menggantikan meja di  sebuah restoran.
GELUNG tayar gergasi digunakan bagi menggantikan meja di sebuah restoran.
Agensi

Annapolis: Sebuah restoran di Maryland, Amerika Syarikat tampil dengan idea kreatif apabila menyediakan gelung getah tayar gergasi sebagai meja untuk pelanggan.

Ini bagi memastikan pelanggan di restoran mematuhi penjarakan sosial sebagai prosedur mengelak penularan Covid-19.

Daily Star melaporkan, pemilik restoran berkenaan membeli meja bumper buatan khas dan beroda demi memastikan setiap pelanggan berada sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

Dalam rakaman langsung Facebook (FBLive) pada Sabtu, pekerja restoran dirakam mencuba meja terbaharu itu.

Pelanggan masih dapat bersembang dan bergerak, namun tetap berada dalam jarak sosial selamat.

Pemilik restoran, Donna Harman berkata, idea itu tercetus berdasarkan acara yang pernah dianjurkan Revolusi Rekaan dan Pembuatan di Baltimore.

Idea itu mendapat reaksi positif orang ramai selepas menonton video berkenaan.

Pelanggan berkata, hanya restoran berkenaan ada meja unik untuk penjarakan sosial.

"Kini kita berada satu meter antara satu sama lain. Jadi boleh minum dengan selamat," katanya.

Katanya, meja itu juga membolehkan pelanggan makan di mana-mana saja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 8:15 AM