SERPIHAN bangkai pesawat berkenaan. FOTO AFP
SERPIHAN bangkai pesawat berkenaan. FOTO AFP
AFP

Karachi: Dua individu terselamat, manakala 97 orang disahkan terkorban dalam nahas Pakistan International Airlines (PIA), semalam.

Angka terkini itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan Pakistan.

Pesawat berkenaan terhempas di sebuah kawasan kejiranan ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Jinnah di sini.

PIA sebelum ini mengesahkan bahawa pesawat itu membawa 91 penumpang dan tujuh kru.

Ketika kejadian, pesawat Airbus A320 terbabit dalam perjalanan dari Lahore ke sini.

Ia beberapa kali membuat percubaan untuk mendarat sebelum terhempas di perumahan dan menyebabkan individu di kawasan itu terbunuh.

Ketika ini, sekurang-kurangnya 80 mayat sudah dibawa keluar.

Kenyataan rasmi mengesahkan dua individu terselamat dan 17 mayat sudah dikenal pasti identitinya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PIA Arshad Mahmood Malik dalam satu sidang media memberitahu bahawa hanya seorang mangsa terselamat dalam nahas itu iaitu Presiden Bank of Punjab, Zafar Masud.

Beliau juga berkata, operasi pembersihan di lokasi nahas dijangka mengambil masa antara dua atau tiga hari lagi.

Seorang anggota bomba di lokasi, Sarfraz Ahmed berkata, ada mayat mangsa ditemui masih memakai tali pinggang keselamatan.

Tragedi itu ketika umat Islam di Pakistan bersedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pakistan baru dua hari menyambung semula operasi penerbangan yang dihentikan kerana pandemik Covid-19,

Dalam pada itu, PIA dalam satu kenyataan berasingan berkata, pesawat itu dibeli pada 2014 dan Airbus adalah antara pesawat paling selamat.

Selain itu, kenyataan sama berkata, juruterbang pesawat berkenaan, Sajjad Gull adalah juruterbang paling kanan untuk pesawat jenis A320.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 10:40 AM