SEKITAR suasana di Jakarta. FOTO AFP
SEKITAR suasana di Jakarta. FOTO AFP
Agensi

Jakarta/Singapura: Angka jangkitan baharu Covid-19 di Indonesia dan Singapura melepasi 600 kes dalam tempoh 24 jam.

Lapor portal Liputan6, Indonesia merekodkan penambahan 678 pesakit baharu yang diuji positif Covid-19.

Jurucakap pemerintah mengenai pengurusan Covid-19 Achmad Yurianto berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 25,216 kes.

Katanya, hari ini turut merekodkan 24 orang pesakit maut akibat wabak itu menjadikan keseluruhan 1,520 kes kematian.

Sementara itu, memetik laporan Mediacorp, Singapura merekodkan 611 kes baharu Covid-19 dengan menjadikan jumlah keseluruhan 33,860 kes jangkitan di republik itu.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), tiga daripada kes baharu itu membabitkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Kebanyakan kes baharu hari ini juga membabitkan pemegang permit kerja yang menetap di asrama pekerja asing.

Republik itu bakal mengambil langkah menarik semula perintah berkurung atau mereka gelar sebagai pemutus rantaian Covid-19 dengan fasa pertama bermula Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 8:04 PM