GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Singapura/Jakarta : Buat pertama kalinya, Singapura merekodkan kes jangkitan Covid-19 yang tidak membabitkan rakyat tempatan.

Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Singapura, sebanyak 408 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan jumlah berkenan tidak membabitkan rakyat tempatan serta penduduk tetap.

Kesemua kes membabitkan pemegang pas kerja yang tinggal di asrama pekerja asing menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan dalam negara menjadi 35,292.

Sejak lebih tiga bulan lalu, ia adalah kali pertama tiada kes komuniti direkodkan

dalam kemas kini harian Kementerian Kesihatan Singapura.

Sementara itu, angka jangkitan Covid-19 di Indonesia hari ini terus melonjak kepada 26,940 menerusi pertambahan 467 kes positif terbaru.

CNN Indonesia melaporkan, seramai 7,637 pesakit dilaporkan sembuh daripada wabak berkenaan manakala 1,641 meninggal dunia.

Jurucakap kementerian kesihatan, Achmad Yurianto berkata, jumlah pesakit sembuh hari ini bertambah 329 orang dengan peningkatan 28 kematian berbanding semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati 467 kes jangkitan dilaporkan dan ia menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 26,940," katanya kepada pemberita pada sidang media.

Semalam, sebanyak 26,473 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di Indonesia dengan 7,308 pesakit sembuh dan 1,614 meninggal dunia.

Wabak itu dilaporkan menular di 34 wilayah Indonesia dengan Jawa Timur dan Jakarta merekodkan bilangan kes tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 7:16 PM