X
PIAZZA della Signoria, dataran di Florence yang menjadi antara tarikan pelancong ke Itali. FOTO AFP
PIAZZA della Signoria, dataran di Florence yang menjadi antara tarikan pelancong ke Itali. FOTO AFP
AFP

Rom: Itali kembali menerima kedatangan pelancong mulai Rabu, selepas tiga bulan dikenakan perintah 'lockdown' akibat penularan Covid-19.

Di Venice, gondola sudah bersedia menerima kehadiran pengunjung, sama juga balkoni 'Romeo and Juliet' di Verona dan Colosseum, di sini.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan ketika negara ini masih berusaha pulih selepas terjejas teruk akibat wabak berkenaan.

Itali menjadi negara Eropah pertama yang terjejas teruk akibat Covid-19 sehingga ia menyebabkan lebih 33,000 kematian.

Pada awal Mac, kerajaan melaksanakan perintah 'lockdown' dan ia kemudian menyaksikan kes jangkitan menurun secara drastik.

Bagaimanapun, kegawatan ekonomi dihadapi ketika ini yang terburuk sejak Perang Dunia Kedua memaksa negara itu kembali membuka pintunya kepada warga asing.

Penerbangan antarabangsa dijangka kembali beroperasi menerusi tiga bandar utamanya,

Milan, Rome dan Naples.

Dalam pada itu, Switzerland memberi amaran kepada penduduknya bahawa mereka perlu menjalani perintah tertentu, jika kembali bercuti dari Itali.

Negara terbabit akan membuka sempadannya dengan Jerman, Perancis dan Austria pada 13 Jun, tetapi tidak kepada Itali.

Austria juga mengikut langkah sama dan membuka sempadan dengan Jerman, Switzerland dan Republik Czech, Slovakia dan Hungary tetapi tidak juga kepada Itali.

Negara Eropah lain seperti Belgium dan Britain, masih mengeluarkan nasihat atau larangan perjalanan ke luar negara bagi tujuan tidak mendesak.

Itali pula menyatakan pengembara dari negara Eropah tidak perlu menjalani kuarantin, tetapi perlu berbuat demikian jika mereka tiba dari benua lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 11:54 AM