PESERTA demonstrasi bagi membantah insiden yang menyebabkan kematian Floyd berhampiran dengan White House. FOTO AFP
PESERTA demonstrasi bagi membantah insiden yang menyebabkan kematian Floyd berhampiran dengan White House. FOTO AFP
Agensi

Minneapolis: Empat pegawai polis didakwa di mahkamah, pada Rabu berhubung kematian lelaki Afrika-Amerika, George Floyd.

Suspek utama, Derek Chauvin, 44, iaitu pegawai polis kulit putih yang menekan leher Floyd menggunakan lututnya selama hampir sembilan minit, didakwa atas tuduhan membunuh darjah ketiga.

Tiga rakan lelaki itu, Tou Thao, 34, J Alexander Kueng, 26, dan Thomas Lane, 37 pula didakwa bersubahat dengan Chauvin.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya dikatakan berusaha meminda pertuduhan itu kepada pembunuhan darjah dua iaitu membunuh tanpa niat, yang membawa hukuman lebih berat.

"Saya percaya bukti yang ada membolehkan tuduhan lebih berat dikenakan iaitu pembunuhan kelas kedua.

"Kita berada di sini hari ini kerana George Floyd tidak berada bersama kita. Beliau patut berada di sini hari ini dan masih bernyawa. Malangnya ia tidak berlaku," kata ketua peguam Minnesota, Keith Ellison.

Penahanan keempat-empat suspek susulan rusuhan yang tercetus di seluruh negara yang melabelkan insiden itu sebagai keganasan polis dan berunsur perkauman.

Sejak sembilan hari lalu, ribuan orang melanggar perintah berkurung bagi menyertai tunjuk perasaan bagi menyuarakan tidak puas hati atas kematian Floyd.

Dalam insiden 25 Mei lalu, Chauvin dikatakan bertindak di luar batas kemanusiaan ketika menahan mangsa.

Rakaman video menunjukkan pegawai polis menekan lututnya di leher mangsa walaupun Floyd berulang kali mengatakan dia tidak boleh bernafas.

Anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 9:44 AM