MENU yang digelar Dulang Nasi Ambeng Nyonya. - Facebook Violet Oon Singapore.
MENU yang digelar Dulang Nasi Ambeng Nyonya. - Facebook Violet Oon Singapore.
Agensi

SINGAPURA: Sebuah restoran di sini memohon maaf kerana melancarkan menu nasi ambeng

yang diberi nama Dulang Nasi Ambeng Nyonya dan mengaku salah menyatakan hidangan Jawa itu sebagai menu masakan Nyonya.

Restoran Violet Oon Singapore itu dalam hantaran di laman sosial menyatakan permohonan maaf kerana tidak peka dengan pemberian nama hidangan berkenaan.

"Kami tidak peka bila menggunakan nama hidangan simbolik sebagai interpretasi Nyonya dan gagal menyampaikan atau mengakui asal-usul dan makna yang kaya di sebalik Nasi Ambeng yang berasal dari Jawa, Indonesia.

"Sebagai jenama yang berdedikasi untuk meneroka budaya makanan yang kaya dan pelbagai di Asia Tenggara, kami gagal menerapkan elemen budaya lain kepada budaya lain bagi hidangan ini," katanya dalam hantaran berkenaan.

Berita Harian Singapura melaporkan, restoran itu meminta maaf kerana menyebabkan kekecewaan, kemarahan atau menjadi punca orang ramai tersinggung disebabkan hal demikian dan akan menukar nama hidangan itu kepada Dulang Keluarga.

Malah, mereka turut berterima kasih kepada pelanggan yang menjelaskan makna di sebalik hidangan nasi ambeng.

"Kami akan terus belajar daripada perkara ini dan akan lebih peka bahawa hidangan kami mencerminkan dan menghormati asal-usulnya dengan betul.

"Kami komited untuk menerima teguran ini dan berusaha keras untuk menjadi lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 10:55 PM