MADELEINE (gambar kiri) dipercayai diculik Christian pada 3 Mei 2007 di Portugal. FOTO Agensi
MADELEINE (gambar kiri) dipercayai diculik Christian pada 3 Mei 2007 di Portugal. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Polis Jerman mendedahkan suspek utama kehilangan kanak-kanak berusia tiga tahun, Madeleine McCann di Portugal pada 3 Mei 2007 lalu dikenal pasti sebagai Christian Brueckner, lapor Metro UK.

Berdasarkan laporan terbaru itu, suspek berusia 43 tahun yang juga warga Jerman dikatakan dilihat di kawasan sekitar pusat peranginan Praia da Luz di pantai Algarve, Portugal pada hari kehilangan kanak-kanak berkenaan.

Jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Braunschweig, Hans Christian Wolters dalam sidang media semalam mengesahkan pendakwaan terhadap lelaki itu giat dijalankan kerana disyaki membunuh.

"Kami menganggap kanak-kanak itu sudah mati. Dengan penahanan suspek, kita mengenal pasti lelaki itu pemangsa seksual (pedofilia) yang pernah disabitkan dengan jenayah terhadap kanak-kanak dan menjalani hukuman yang panjang," katanya.

Hans berkata, antara 1995 dan 2007, suspek yang berkerja dalam perniagaan gastronomi kerap ke Algarve didapati menjalani gaya hidupnya dengan melakukan jenayah, termasuk mencuri di hotel dan pangsapuri serta penjualan dadah.

Dia menambah, "Pihak Pendakwa Raya Braunschweig yakin, sebelum ke luar negara, suspek kali terakhir menetap di Braunschweig."

Difahamkan, suspek kini dipenjara tujuh tahun di Kiel, Jerman kerana merogol wanita warga emas dari Amerika Syarikat berusia 72 tahun di Portugal pada 2005, lapor akhbar Jerman Braunschweiger Zeitung.

Akhbar itu melaporkan, suspek disabitkan bersalah di Mahkamah Braunschweig pada Disember lalu.

Pejabat Persekutuan Jenayah di Jerman kini menjalankan siasatan bersama dengan Polis Metropolitan dan polis di Portugal serta meminta orang ramai menyalurkan maklumat lebih lanjut.

Christian Hoppe, dari Pejabat Polis Jenayah Persekutuan (BKA) Jerman, memberitahu saluran televisyen ZDF negara itu awal hari ini bahawa polis tidak menolak motif seksual terhadap kehilangan Madeleine.

Katanya, ada kemungkinan suspek memecah masuk pangsapuri di Ocean Club di Praia da Luz ketika Madeleine bercuti bersama ibu bapanya, Kate dan Gerry McCann dan adik-beradik kembarnya, Sean dan Amelie sebelum menculik mangsa.

Kira-kira dua minggu sebelum sambutan hari jadinya yang keempat, Madeleine McCann dari Rothley, England dilaporkan hilang pada 3 Mei 2007 ketika percutian bersama keluarga di kawasan peranginan di selatan Portugal sehingga mencetuskan pencarian antarabangsa tetapi sehingga kini kanak-kanak terbabit masih tidak ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 1:06 PM