FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Singapura: Satu kes perceraian di Singapura dilaporkan berpunca akibat kucing yang disalahkan sebagai 'pihak ketiga.'

Oddity Central melaporkan perceraian pasangan berkenaan itu dibuat oleh Hakim Sheik Mustafa Abu Hassan pada 21 Mei lalu.

Pasangan itu sudah berkahwin selama 45 tahun iaitu sejak 1975, tetapi tinggal berasingan sejak 14 tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata dan menurut suaminya, salah satu punca perpisahan mereka adalah sikap isterinya yang terlalu obses dengan kucing.

Kemelut rumah tangga mereka bermula sejak 1997 apabila si isteri menunjukkan kecenderungannya dengan memberi makan kepada kucing jalanan dan membawanya pulang ke rumah.

Perubahan itu dipercayai berlaku selepas wanita itu bermimpi ibunya yang sudah meninggal dunia berpesan untuk berbuat baik dengan kucing.

Namun, kesabaran suaminya teruji apabila rumah mereka berbau kerana ada banyak kucing jalanan.

"Lama-kelamaan, ia mengundang rasa kurang senang kerana haiwan itu bergerak bebas di dalam rumah dan membuang najis di merata tempat kerana tidak dilatih menggunakan tandas.

"Terdapat juga najis dan kesan air kencing ditemui di luar rumah hingga memaksa jiran membuat aduan.

"Polis dan pihak berkuasa sudah memberi amaran kepada wanita berkenaan, tetapi tidak pernah diendahkan. Malah, dia juga tidak henti menambah bilangan haiwan peliharaannya itu," katanya.

Disebabkan tidak selesa dengan keadaan katil yang dipenuhi kucing, suami wanita berkenaan mengambil keputusan tidur di atas tikar iaitu berasingan daripada isterinya .

Lelaki itu kemudiannya menghubungi polis pada 2003 tetapi tiada tindakan boleh diambil kerana ia adalah isu domestik.

Sejak itu, dia perlahan-lahan menjauhkan diri dari isterinya dan kemuncaknya adalah pada 2006 apabila berlaku insiden kucing kencing di atas badannya sewaktu tidur.

Insiden itu menyebabkannya lelaki itu nekad keluar dari rumah dan tinggal bersama abangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 7:20 AM