X
KUBUR orang Islam daripada tanah perkuburan Katolik di Bruzzano, pinggir Milan. Muslim di Itali berdepan kekurangan tapak mengebumikan jenazah pesakit Covid-19. FOTO AFP.
KUBUR orang Islam daripada tanah perkuburan Katolik di Bruzzano, pinggir Milan. Muslim di Itali berdepan kekurangan tapak mengebumikan jenazah pesakit Covid-19. FOTO AFP.
AFP

Milan: Kekurangan tanah perkuburan Islam di Itali kian meruncing ketika pandemik Covid-19 dan komuniti Muslim menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan pengebumian dengan sempurna seperti kebanyakan negara lain.

Disebabkan itu, imam dan ketua komuniti minoriti itu meminta supaya tanah perkuburan orang Islam ditambah berikutan peningkatan jenazah dengan permintaan untuk disemadikan di negara terbabit.

"Kami menderita (akibat pandemik), tetapi lebih terkesan apabila segelintir keluarga tidak dapat menemui tapak untuk mengebumikan jenazah ahli keluarga, disebabkan tiada bahagian untuk Muslim di tanah perkuburan dalam bandar," kata Imam Masjid Milan Sesto Abdullah Tchina kepada AFP.

Lebih 34,000 orang mati akibat pandemik itu di Itali, kebanyakannya di kawasan industri di utara.

Pengangkutan udara dunia hampir lumpuh sejak beberapa bulan lalu yang menyebabkan orang Islam yang meninggal dunia kerana Covid-19 mahupun sebab lain di Itali tidak dapat dihantar pulang ke negara asal seperti kebiasaan.

Ia sekali gus mendorong peningkatan permintaan untuk pengebumian, sedangkan tapak yang ada semakin terhad.

Muslim di Itali sekitar 2.6 juta orang atau 4.3 peratus daripada populasi negara itu, kebanyakannya tinggal di utara.

Sebanyak 56 peratus daripada mereka adalah warga asing, ramainya dari Afrika Selatan atau Asia Selatan.

Bagaimanapun tiada angka rasmi jumlah Muslim di negara itu.

Banyak jenazah orang Islam yang meninggal dunia di sini, minggu lalu terpaksa menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer untuk disemadikan, kata Tchina.

Kes yang paling tragis adalah Hira Ibrahim, seorang wanita Macedonia di Pisogne berhampiran utara Brescia yang terpaksa menyimpan jenazah ibunya, pesakit Covid-19 di rumah selama 10 hari.

Tindakan itu kerana tanah perkuburan di kawasan berkenaan penuh, menurut surat khabat La Repubblica.

Kesatuan Komuniti Islam Itali menyenaraikan 76 tanah perkuburan di negara itu membabitkan 8,000 kawasan perbandaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 3:51 PM