Eden (kiri) bersama ahli keluarganya.
Eden (kiri) bersama ahli keluarganya.
Agensi

London: Seorang kanak-kanak di Staffordshire, United Kingdom ada cara tersendiri membantu taman hidupan liar kegemarannya terus beroperasi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Eden Short dari Biddulph, berjalan kaki amal bagi memberi sumbangan kepada Pusat Hidupan Liar Gentleshaw, Gentleshaw.

Kanak-kanak itu termasuk ibu dan bapa, Hannah dan Seb serta adiknya berusia tiga tahun, Rio menganjurkan misi berjalan kaki sejauh 75 kilometer sepanjang bulan ini.

Ia sebagai usaha mengumpul dana membantu kakitangan dan haiwan di pusat itu.

Setakat ini, mereka menamatkan 70 kilometer dan mengumpul £491 pound sterling (RM2,602).

Lebih manis, kanak-kanak itu tercalon pada Our Heroes Award bagi kategori Bright Young Thing.

Ibunya, Hannah berkata, idea berkenaan muncul selepas Eden mencadangkan rutin berjalan kaki kami sebagai cara mengumpul dana membantu pusat itu.

"Kami tahu banyak zoo bergelut meneruskan operasi selepas terkesan akibat Covid-19.

"Saya dan Eden bersembang mengenai isu ini, apatah lagi kami selalu berkunjung ke pusat hidupan liar berkenaan.

"Dia cadangkan acara ini dengan jumlah kilometer lebih jauh, tetapi kami berbincang sehingga jumlah sesuai dicapai iaitu 75 kilometer sahaja," katanya seperti dipetik portal Stoke On Trent News.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 8:00 AM