PENGUNJUNG memakai pelitup muka di Hollywood Walk of Fame, Hollywood, California. FOTO AFP
PENGUNJUNG memakai pelitup muka di Hollywood Walk of Fame, Hollywood, California. FOTO AFP
BERNAMA

Washington: Jumlah kes Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) terus melonjak kepada 2.6 juta pada Selasa dengan 126,360 kematian.

Ia berdasarkan data Johns Hopkins University, lapor agensi berita Xinhua.

Di Washington, pakar penyakit berjangkit Anthony Fauci memberi amaran kes Covid-19 di AS boleh meningkat sehingga 100,000 setiap hari memandangkan negara ini "tidak berada pada tahap kawalan yang sepatutnya."

Fauci merangkap pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan berkata, AS sedang "menuju ke arah yang salah" seiring dengan meningkatnya jumlah kes di seluruh negara.

"Kita sekarang mempunyai lebih 40,000 ribu kes baharu sehari. Saya tidak terkejut jumlah itu akan naik sehingga 100,000 sehari. Ia sangat membimbangkan saya," katanya.

Sementara itu, Kanada melanjutkan larangan kemasukan pelancong antarabangsa sehingga 31 Julai, menurut Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada (CBSA).

"Kerajaan Kanada tetap komited untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakyatnya dan mengurangkan penularan Covid-19," kata CBSA dalam satu kenyataan.

Poland pula mengeluarkan senarai lapan negara bukan Kesatuan Eropah (EU) yang dibenarkan keluar dan masuk ke negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 10:59 AM