ORANG awam menaiki kereta untuk menjalani ujian swab Covid-19. FOTO AFP
ORANG awam menaiki kereta untuk menjalani ujian swab Covid-19. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Donald Trump semakin berang kepada China kerana kegagalan mereka mengawal penularan Covid-19.

"Seperti yang saya tengok penularan pandemik bertambah buruk di seluruh dunia, termasuk kerosakan luar biasa yang berlaku kepada Amerika Syarikat (AS).

"Ini membuatkan saya semakin marah kepada China," katanya dalam ciapan Twitter.

Trump terus menyalahkan Beijing ke atas pandemik yang melanda dunia sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara dua negara yang sedang mengalami perang perdagangan.

Di tengah-tengah lonjakan kes di AS terutamanya di selatan dan barat, pakar penyakit berjangkit, Anthony Fauci memberitahu Kongres pada Selasa bahawa mereka tidak berada di jalan yang betul dalam menangani krisis pandemik itu.

"Jelas kita tidak mampu mengawal sepenuhnya ketika ini," katanya.

Beliau turut memberi amaran, kes boleh meningkat dua kali ganda kepada 100,000 setiap hari jika pihak berkuasa dan orang awam gagal mengambil langkah mengekang penularan pandemik.

China menuduh pentadbiran Trump mempolitikkan pandemik itu untuk mengelak menangani sendiri penyakit itu apabila AS semakin terjejas apabila merekodkan kematian tertinggi berbanding negara lain.

Bagaimanapun, pegawai AS, menggesa ketelusan tinggi daripada pihak China.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 11:05 AM